My Add

Friday 14 September 2012

Ada pihak cuba jejaskan hubungan Malaysia-Thailand



*ZULKIFELI Md. Zin (tengah) dan Salleh Mat Rasid (kanan) diiringi oleh Jalaluddin Abdul Rahman (kiri) melawat sempadan Malaysia-Thailand di Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

RANTAU PANJANG, KHAMIS, 13 September, 2012: Malaysia memandang serius tindakan pihak tertentu yang sengaja mengibarkan Jalur Gemilang di wilayah bergolak Selatan Thailand pada 31 Ogos lalu, kerana ia memberi implikasi secara langsung kepada negara ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana golongan yang cuba mengeruhkan hubungan baik antara kedua-dua negara berjiran itu.

"Jadi, kita memberi keyakinan pada rakan-rakan yang sebelah Thailand sama ada daripada angkatan tentera dan polis, bahawa kita memandang serius benda-benda ini kerana ia memberi implikasi langsung kepada kita.

"Kita tidak terlibat dan campur tangan dalam perkara ini dan ini adalah angkara pihak tertentu yang cuba menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

"Kehadiran kita di sini hari ini adalah untuk memberi keyakinan kepada pihak berkuasa Thailand," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kampung Bukit Lata, di sini hari ini.

Beliau dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid bersama Ahli Jawatankuasa Perancangan Gerakan Kebangsaan melawat kawasan sempadan bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman hadir sama.

Pada 31 Ogos lalu, Jalur Gemilang dikibarkan oleh pihak tertentu di Pattani, Yala dan Narathiwat, serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55.

Jalur Gemilang dilaporkan turut dipasang pada pokok dan tiang lampu selain dibawa oleh beberapa lelaki. Namun, sehingga kini tidak diketahui motif sebenar kumpulan pemberontak terbabit mengibarkan bendera Malaysia itu.

Zulkifeli berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam isu keselamatan di negara jiran itu dan bantuan yang diberikan sebelum ini adalah dalam bidang sosio ekonomi.

"Kita sedia maklum bahawa beberapa tahun yang lepas, Perdana Menteri melawat kawasan selatan Thailand di sebelah Buketa dan salah satu tujuan lawatan tersebut adalah untuk membantu masyarakat di sana dari aspek sosio ekonomi.

"Program Task Force yang diwujudkan untuk membantu masyarakat di sana masih lagi wujud dan programnya telah dilaksanakan dan saya yakin lebih banyak program dilaksanakan pada masa depan.

"Kita akan membuat susulan daripada hasil lawatan serta pertemuan di antara Perdana Menteri kita dengan Perdana Menteri Thailand," katanya.

Mengulas mengenai ancaman militan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Zulkifeli berkata, ia semakin berkurangan tetapi pihaknya akan meneruskan pemantauan dengan menggunakan semua mekanisme yang ada.

"Kita memantau dengan menggunakan mekanisme sedia ada dan saya telah maklumkan bahawa kita mempunyai mekanisme-mekanisme tertentu melalui agensi-agensi tertentu untuk memantau kegiatan militan, ia masih dalam kawalan cuma kebimbangan, benda kalau tidak dipantau mungkin menular," katanya.

Sementara itu, Salleh berkata, aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan semakin menurun hasil kerjasama semua pihak khususnya mereka yang tinggal di kawasan sempadan.

"Kita harap dengan adanya penguatkuasaan daripada semua agensi ia dapat menangani masalah penyeludupan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment