My Add

Friday 14 September 2012

Putera William, isteri mengadap Agong di Istana Negara

 *TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah menerima menghadap Putera William dan Catherine pada majlis santapan diraja di Istana Negara, Putrajaya, malam tadi. - BERNAMA
PUTRAJAYA, KHAMIS, 13 September, 2012: Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan isterinya Catherine, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada majlis santapan diraja di Istana Negara, malam tadi.

Turut serta, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Lawatan rasmi empat hari pasangan diraja itu sebagai mewakili Ratu Elizabeth II sempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Terdahulu, Putera William dan isterinya diraikan pada majlis makan tengah hari yang dihoskan Najib dan Rosmah di Seri Perdana.

Pasangan diraja itu dijadual melawat Hospis Malaysia, pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad, Taman KLCC dan Lembah Danum di Sabah.

Pasangan diraja Britain bertemu orang ramai di KLCC

Pasangan diraja Britain itu juga bertemu orang ramai di Taman KLCC. Mereka tiba kira-kira pukul 10.45 pagi dibawa menaiki buggy sehingga di hadapan pintu masuk taman sebelum berjalan untuk bertemu dan bersalaman dengan orang ramai yang telah menanti mereka seawal pukul 8 pagi.

Ketibaan mereka disambut meriah dengan persembahan kebudayaan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selain turut menerima bunga daripada orang ramai. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment