My Add

Sunday 9 September 2012

Bandar raya getah dibangun

*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Vladimir Putin semasa mengadakan pertemuan bilateral pada sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Pulau Russky, Vladivostok, Rusia, semalam. - BERNAMA

VLADIVOSTOK, Rusia, SABTU, 0 8 September, 2012: Malaysia mencadangkan kepada Thailand untuk membangunkan sebuah kawasan di sempadan Kedah dan negara itu dengan pembangunan berkonsepkan 'bandar raya getah'.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah pun memilih bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi penyelaras pembangunan tersebut untuk mengenal pasti projek-projek yang sesuai dimajukan.

"Projek berkonsep bandar raya getah itu akan memberi tumpuan kepada perusahaan yang menggunakan getah sebagai bahan asas pembuatan barangan," jelas beliau pada sidang akhbar selepas berakhir hari pertama Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) atau AELM di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut telah disampaikan kepada Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dalam pertemuan dua hala yang diadakan di luar Sidang Kemuncak APEC tersebut.

"Malaysia memaklumkan kepada beliau (Yingluck) bahawa terdapat potensi yang baik untuk membangunkan kawasan di sempadan Malaysia dengan Thailand seperti di Kedah itu dengan pembangunan berkonsepkan 'bandar raya getah'.

"Namun cadangan ini masih di peringkat awal, dan kita sedang membuat kajian dan penelitian yang sewajarnya," jelas beliau.

Najib berkata, cadangan tersebut diutarakan memandangkan harga getah dunia dilihat semakin menurun, sekali gus menjejaskan pendapatan Malaysia, Thailand dan Indonesia sebagai pengeluar utama getah dunia.

"Malaysia, Thailand dan Indonesia perlu sama-sama memperhebatkan usaha mengawal harga getah memandangkan harga getah sudah menurun, dan kita perlu bekerjasama bagi menstabilkan harga tersebut," tegasnya.

Dalam pertemuan tersebut, kata Perdana Menteri, Yingluck mahu suruhanjaya bersama Thailand-Malaysia mengadakan pertemuan segera bagi membincangkan kerjasama dua hala khususnya soal kestabilan di selatan Thailand.

"Kerana itu, suruhanjaya yang dipengerusikan oleh menteri luar dari kedua-dua negara akan bertemu pada Oktober ini bagi membincangkan kerjasama itu," tambahnya.

Selain Thailand, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan bilateral dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri New Zealand, John Key; dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.

Katanya, dalam pertemuan dengan Putin, Malaysia menyuarakan hasrat untuk melebarkan lagi bidang kerjasama di antara kedua-dua negara, yang kini hanya terbatas dalam bidang ketenteraan dan aeroangkasa.

"Kerjasama Malaysia dan Rusia pada masa ini agak baik tapi terbatas, kita mahu perluaskan lagi hubungan dan kerjasama itu untuk meliputi bidang-bidang baru.

"Sebagai contoh, kita mahu bekerjasama dalam sektor bukan minyak dan gas memandangkan Rusia juga kaya dengan galian seperti arang batu. Mungkin kita boleh galakkan penyertaan syarikat Malaysia (dalam perlombongan arang batu) di Rusia," jelas Najib.

Selain itu, katanya, Malaysia juga melihat Rusia sebagai satu pasaran yang penting bagi industri pelancongan dan mahu lebih ramai rakyat negara itu melawat Malaysia.

"Sekarang ini hanya 40,000 pelancong Rusia melawat Malaysia. Tapi lebih 800,000 melawat Thailand dan lagi lebih tiga juta melancong ke Turki," katanya. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment