My Add

Friday 7 September 2012

Bapa rayu peluang Muhammad Ammar terus belajar di KTaC

BATU PAHAT, KHAMIS, 06 September, 2012: Bapa Muhammad Ammar, 19, pelajar yang dibuang kolej kerana dipercayai menghina gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, merayu supaya anaknya itu diberi peluang untuk meneruskan pengajiannya.

A. Rahman Abdullah, 53, berkata, dia menyedari dan amat menyesali tindakan Muhammad Ammar, tetapi berharap pihak kolej mengenakan hukuman lebih ringan demi masa depan anaknya itu.

"Saya kesal dengan apa yang dilakukannya dan sekali lagi memohon maaf kepada semua.

"Saya akui dia sepatutnya memikirkan terlebih dahulu kesan perbuatan itu sebelum melakukannya, tetapi saya juga berharap agar dia diberi peluang kerana umurnya masih terlalu muda dan perjalanan hidupnya masih panjang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Bagaimanapun, A. Rahman berkata, Muhammad Ammar yang berada di dalam rumah belum bersedia untuk ditemubual oleh pihak media dan lebih banyak mengurung diri di dalam bilik.

Dalam kejadian 30 Ogos lalu, bekas pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTaC) itu serta beberapa individu lain mencemar sambutan ambang kemerdekaan dengan menghina gambar Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor selain mengibar bendera lain, kononnya bagi menggantikan Jalur Gemilang jika Pakatan Pembangkang berjaya memerintah negara ini.

Muhammad Ammar ditahan polis kelmarin berhubung siasatan dia menunjukkan punggungnya kepada gambar Perdana Menteri dan isteri, bagaimanapun dibebaskan pada hari sama setelah keterangannya diambil.

Semalam Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Prof. Dr. Nazaruddin Mohamed berkata, Muhammad Ammar dikenakan tindakan buang kolej atas perbuatannya itu.

Keputusan itu katanya, dibuat setelah mengambil kira pengakuan bertulis penuntut terbabit dan peraturan tatatertib serta disiplin pihak kolej. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment