My Add

Friday 7 September 2012

Model sambilan, ibu mohon maaf hina PM

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 06 September, 2012: Ibu kepada model sambilan, Ong Sing Yee, 19, yang terlibat menghina pemimpin negara pada malam sambutan merdeka baru-baru ini, memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kelakuan biadab anaknya itu.

Wong Siew Lan, 42, berkata, dia yang tidak tahu menahu Sing Yee diburu oleh polis kerana tidak membaca surat khabar, terkejut apabila mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya itu memaklumkan dia ditahan polis awal pagi ini.

"Saya tidak tahu untuk berkata apa-apa, cuma terkejut dan kecewa dengan apa yang telah dilakukannya.

"Saya percaya dia dipengaruhi oleh rakan-rakan atau individu lain untuk melakukan perbuatan tersebut dan saya memohon maaf bagi pihaknya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permas Jaya, di sini hari ini.

Dia amat menyesali kejadian tersebut, sehubungan itu berharap permohonan maaf daripada anaknya hari ini diterima oleh rakyat Malaysia.

Dalam kejadian 30 Ogos lalu, Sing Yee serta beberapa individu dipercayai peserta Perhimpunan Janji Bersih mencemar sambutan ambang kemerdekaan dengan menghina gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selain mengibar bendera berwarna merah putih.

Sing Yee ditahan semalam untuk diambil keterangan setelah menyerah diri di Balai Polis Sentral di sini, manakala tujuh individu lain masih diburu atas kesalahan sama.

Menurut Siew Lan, anaknya itu telah dibebaskan kira-kira pukul 2 pagi ini namun, sehingga pukul 3 petang dia masih tidak dapat menghubungi Sing Yee.

Dia berharap anaknya segera pulang ke rumah untuk menjelaskan perkara tersebut dengan lebih terperinci.

Sementara itu, di Petaling Jaya, Sing Yee pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Namun begitu, dia tidak meminta maaf secara langsung kepada Perdana Menteri dengan alasan Najib adalah sebahagian daripada masyarakat negara ini.

Dia juga mengatakan kehadirannya ke perhimpunan itu adalah kerana perasaan ingin tahu dan mengikut perbuatan peserta lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment