My Add

Wednesday 12 September 2012

Bau, Sarawak berpotensi muncul pengeluar utama emas

KUALA LUMPUR, RABU, 12 September, 2012: Syarikat perlombongan antarabangsa, Olympus Pacific Minerals Inc, yang sedang melakukan kajian daya maju ke atas kawasan emas Bau, dekat Jugan Hill di Sarawak, menyatakan prospeknya cerah untuk muncul sebagai pengeluar penting emas di Asia Tenggara.

Kawasan Tengah Bau adalah kawasan emas yang luas, dengan kewujudan sumber emas, yang sudah dilombong sekali-sekala sejak pertengahan abad ke-19.
Kawasan emas Bau terletak dalam lingkaran metalik Borneo, yang turut menempatkan beberapa kem perlombongan emas lain, termasuk Kelian, Mamut (emas-kuprum) dan Mt Muro.

Pada masa ini Olympus yang berpangkalan di Toronto, Kanada, mengawal 83 peratus projek itu, yang akan ditingkatkan kepada 93 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam tempoh beberapa bulan lalu, pasukan Olympus Pacific menguji deposit metalurgi Jugan Hill yang juga sebahagian daripada kajian daya maju yang dijadual selesai pada 2013.

"Jugan Hill lebih besar daripada apa yang dilihat pada kali pertama, ia memiliki pelbagai prospek emas dan yang pertama melalui ujian metalurgi menyeluruh," kata syarikat itu dalam kenyataan dari Toronto.

Ia berkata, kawasan tengah Bau juga dikatakan serupa kawasan Carlin di Utara Nevada, salah satu daripada kawasan pengeluaran emas terbesar di dunia.
Bau mempunyai gabungan logam refraktori dan bukan refraktori dan Olympus berminat memilih proses yang memaksimumkan penemuan serta meminimumkan kos ketika meneruskan kajian daya maju itu.

Walaupun masih awal, keputusan awal sudah jelas. Kemungkinan 90-98 peratus kadar penemuan pengoksidaan seperti yang diharapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat, John Seton, dipetik sebagai berkata bahawa keputusan ujian ini akan memberi lonjakan besar kepada Bau memandangkan ada yang menganggap kompleks logam refraktori akan menjejaskan pembangunan di Jugan Hill.

"Ini tidak benar, keputusan menunjukkan ia adalah standard antarabangsa atau lebih baik dan membuktikan Albion dan pengoksidaan tekanan adalah proses yang berdaya maju," katanya.

Olympus ialah syarikat eksplorasi dan pengeluaran emas yang mempunyai tiga aset teras di Sarawak dan Vietnam dan sebuah projek eksplorasi di utara Filipina.

Syarikat itu mempunyai dua lombong emas yang kawasan tengah Vietnam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment