My Add

Sunday 9 September 2012

Belanjawan 2013 tumpu program "Road To Rio 2016"

PADANG BESAR, AHAD, 09 September, 2012: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Belanjawan 2013 dijangka memberi tumpuan kepada program "Road to Rio 2016" dalam usaha negara meraih pingat pada temasya Olimpik di Brazil itu.

Selain itu, beliau berkata, Perlis juga dijangka menerima habuan kerana akan menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2014.

"Selain peruntukan untuk temasya, penduduk Perlis akan menikmati manfaat daripada SUKMA menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Padang Besar di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, secara keseluruhan, kementeriannya menjangka belanjawan yang akan dibentang pada 28 September itu bakal memberi fokus ke arah memperkasakan golongan belia dan pembangunan sukan negara.

Mengulas ganjaran dan elaun untuk atlit paralimpik yang menjulang nama negara di persada dunia, Ahmad Shabery berkata, beliau akan mendapatkan pandangan pakar dan golongan profesional berkaitan mengenai isu tersebut.

Beliau berkata, banyak perkara perlu dikaji sebelum membuat suatu keputusan terutama yang berkaitan dengan atlet. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment