My Add

Saturday 8 September 2012

Bersatu untuk tawan semula Selangor: Shafie Afdal

  Shafie Apdal

KUALA KUBU BAHARU, SABTU, 08 September, 2012: Anggota UMNO perlu terus mengukuhkan perpaduan dalam parti untuk membantu Barisan Nasional (BN) memenangi semula negeri Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata anggota UMNO perlu mengambil contoh kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 2010 sebagai bukti Selangor boleh ditawan semula atas semangat perpaduan dan kerajinan anggota parti.

"Kalau dalam pilihan raya kecil di negeri yang pembangkang sedang memerintah dan menggunakan jentera sekuat-kuatnya pun kita mampu tawan, apatah lagi pada pilihan raya umum.

"Selain kesatuan dan kesaksamaan, pengorbanan juga harus ditahap yang tinggi. Jangan korbankan parti kerana kepentingan peribadi. Kita harus berjuang tingkatkan gerak kerja kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan UMNO bahagian Hulu Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan dan Ketua UMNO Hulu Selangor Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.

Mohd Shafie turut mengingatkan perwakilan UMNO agar terus memberi sokongan kepada mana-mana anggota parti dalam BN yang menjadi calon pilihan raya walaupun dari parti yang berbeza.

Yakin bahawa UMNO sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU-13, beliau berulang kali mengingatkan perwakilan bahawa persekitaran politik pada masa ini jauh berbeza daripada tahun 2004 dan 2008.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan perwakilan agar terus meningkatkan jumlah daftar pemilih di kalangan anggota Umno untuk menjamin kemenangan pada PRU-13.

Mengulas mengenai insiden pada perhimpunan Janji Demokrasi pada 30 Ogos lepas, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata budaya itu tidak selari dengan ajaran Islam mahupun agama-agama lain.

"Hari kemerdekaan patutnya dirai bersama sebab itu waktu kegemilangan negara dilepas dari penjajahan. Bukannya landasan untuk terap kebencian. Ini perbuatan tak beradab. (Pembangkang) tak patut terap (perbuatan seperti itu) di kalangan penyokong terutama generasi muda," katanya.

Tegasnya, ketaksuban yang tidak mengenal peri kemanusiaan dan peradaban seperti itu tidak seharusnya wujud dalam masyarakat Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment