My Add

Saturday 8 September 2012

Jangan anggap pilihan raya sebagai 'musim menuai'

 Dr Zahid Hamidi.
TAWAU, SABTU, 08 September, 2012: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota dan pemimpin Umno di semua peringkat supaya tidak menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai 'musim menuai'.

Sebaliknya, beliau berkata pilihan raya umum ke-13 perlu dilihat sebagai cabaran besar dan getir yang memerlukan kerja kuat berterusan semua anggota parti tanpa perlu menunggu peruntukan sampai terlebih dahulu kepada mereka.

"Jentera parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersiap siaga bilapun pilihan raya (diadakan) sama ada tahun ini atau tahun hadapan. Jangan jadikan asas bahawa peruntukan yang diperoleh itu (ada) baru bekerja. Pusat Daerah Mengudi dan bilik gerakan seharusnya dibuka dari sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan serentak persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Kalabakan di Dewan Masyarakat Tawau di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata untuk menawan semula negeri dan kerusi yang ditawan pembangkang pada pilihan raya umum 2008, anggota dan kepimpinan Umno serta BN perlu mengetepikan segala sikap negatif serta bekerja lebih keras dan bijaksana.

Katanya ramai pengundi atas pagar sebenarnya mahu UMNO dan BN tetapi disebabkan kegagalan jentera pilihan raya UMNO dan BN mendekati atau lambat mendekati golongan tersebut menyebabkan pengundi itu mengundi parti pembangkang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment