My Add

Wednesday 12 September 2012

Bukan dagangan politik

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, SELASA, 11 September, 2012: Bidang pendidikan bukan modal yang harus diperdagangkan oleh mana-mana pihak bagi tujuan meraih laba politik kerana pendidikan adalah isu nasional yang kepentingannya jauh melangkaui sentimen politik kepartian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menegaskan perkara itu berkata, semua pemimpin perlu mempunyai keberanian moral untuk tidak mempolitikkan bidang pendidikan agar setiap anak Malaysia mampu merealisasi potensi masing-masing.

Ini kerana jelas beliau, bidang pendidikan bukan sahaja amat penting tetapi kritikal demi masa depan negara, justeru semua pihak harus tampil dengan nilai lebih objektif serta bertanggungjawab dan bukan sekadar mengejar pendekatan populis semata-mata.

Menurut Perdana Menteri, Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan bertanggungjawab sentiasa menangani isu pendidikan melangkaui politik dan terbukti apabila terus menyalurkan bajet signifikan untuk sektor itu termasuk memperuntukkan RM37 bilion pada 2012.

"Keberanian moral untuk tidak mempolitikkan isu pendidikan ini perlu agar kita semua dapat memastikan langkah dan keputusan yang dibuat adalah berdasar kepentingan anak-anak serta negara, bukannya untuk meraih laba politik dengan langkah populis.

"Sebab itu dalam melakukan transformasi ini, kerajaan tanpa rasa takut mengakui kekurangan yang terdapat dalam sistem pendidikan kita untuk ditambah baik," katanya semasa merasmikan pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Laporan awal pelan pembangunan itu dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan detik bersejarah tersebut disiarkan secara langsung oleh TV3 dan RTM.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, barisan Menteri Kabinet, ahli Parlimen BN dan pembangkang, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), barisan Panel Penilai Bebas Malaysia dan Antarabangsa serta tokoh akademik.

Dalam pada itu Perdana Menteri menyifatkan pelan pembangunan tersebut bersifat futuristik, komprehensif, telus dan demokratik kerana bukan sahaja mengambil kira keperluan masa depan bidang pendidikan negara tetapi turut menggabungkan pandangan semua pihak.

Sehubungan itu, beliau yakin pelan jangka masa panjang berkenaan akan memberi perubahan signifikan serta bersifat lonjakan berganda kepada pendidikan negara sekali gus, merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

"Laporan awal ini bagi menjemput cadangan balas, kritikan, komen dan sokongan. Ia sesuai dengan hakikat era kerajaan mengetahui segala-gala dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir. Kita menjemput rakyat Malaysia ambil bahagian.

"Ini kerana rupa bentuk negara dan masa depan anak bangsa akan ditentukan oleh keputusan, langkah dan tindakan yang kita ambil pada hari ini, sebab itu kita tidak boleh menangguhkan atau berdikit-dikit, kita harus berani melabur demi masa depan lebih baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment