My Add

Wednesday 12 September 2012

Kena pada tempatnya - Hasan Ali

Oleh SOFIAN BAHAROM
KUALA LUMPUR, SELASA, 11 September, 2012: Keputusan Majlis Syura Pas yang tidak membuat apa-apa pendirian berhubung kedudukan Nasharudin Mat Isa dalam mesyuaratnya pada Ahad lalu adalah bijak dan kena pada tepatnya.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali yang menyambut baik sikap dan pendirian majlis syura itu menyifatkan, tindakan tersebut penting dalam usaha mengembalikan semula kewibawaan kepimpinan ulama dalam Pas.

"Pendirian tersebut telah menggambarkan bahawa tindakan dan kenyataan Nasharudin yang menjurus ke arah politik perdamaian sesama Islam dan keras terhadap orang kafir yang cuba mengongkong perjuangan Pas itu bukanlah satu kesalahan bagi kaca mata Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kedudukan Nasharudin dalam parti itu kekal seperti yang diumumkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin.

Keputusan majlis itu dilihat sebagai satu tamparan buat golongan 'Anwarinas' yang tidak senang dengan tindak-tanduk Nasharudin selama ini termasuk terbaru, membantu pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ulama Arab Saudi di Mekah baru-baru ini.

Mereka dilaporkan benar-benar kecewa dengan keputusan itu yang sebelum ini begitu berharap bekas Timbalan Presiden Pas itu dipecat kerana membuat kenyataan meminta parti itu mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang.

Jelas Hasan, tindakan dan kenyataan Nasharudin telah menimbulkan kemarahan dan reaksi yang negatif dalam kalangan kumpulan 'parasit' di dalam Pas sehingga Lajnah Politik yang dikuasai oleh kumpulan itu diberitakan mencuba untuk mengambil satu pendirian parti ke atas Ahli Parlimen Bachok berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, golongan itu tidak mampu untuk berbuat demikian memandangkan Nasharudin adalah Ahli Majlis Syura Ulama yang kedudukannya lebih tinggi daripada ahli Lajnah Politik mahupun Jawatankuasa Pas Pusat.

"Mereka terpaksa menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi parti untuk menentukan masa depan Nasharudin di dalam Pas," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment