My Add

Sunday 9 September 2012

Dakwaan Pas tidak berasas

OLeh YULPISMAN ASLI
KOTA BHARU, SABTU, 08 September, 2012: Dakwaan Pas kononnya UMNO menolak Islam dan hukum hudud adalah tidak berasas sama sekali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebaliknya menjelaskan, apa yang dilakukan UMNO dan kerajaan Pusat ketika ini ialah memberi keutamaan memperkemaskan sistem perundangan syariah negara yang merekodkan banyak kes tertunggak.

Beliau berkata, mahkamah syariah di Kelantan sendiri mencatatkan kes tertunggak kira-kira 24,000 berbanding negeri lain sekitar 3,000 kes.

“Dalam konteks Islam, tidak timbul masalah penolakan kepada hudud dan sebagainya. Tetapi kita menyusun perancangan untuk peningkatan mahkamah syariah.

“Keutamaan harus kita bincangkan dan tidak ada penolakan dalam konteks UMNO berhubung hukum yang ditentukan Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini.

Hadir sama, Ketua UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan kepimpinan UMNO bahagian itu serta Timbalan Ketua UMNO Jeli, Datuk Ab. Aziz Derasid mewakili Badan Perhubungan UMNO negeri.

Mengulas tuduhan Pas mereka tidak dapat melaksanakan hudud kerana halangan kerajaan Pusat, Jamil Khir berkata, sikap pembangkang yang hanya pandai menuding jari kepada pihak lain atas kelemahan mereka tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi umat Islam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Jamil Khir menegaskan, kerajaan sentiasa meneruskan usaha membangunkan umat Islam dan mengangkat martabat Islam di negara ini.

Komitmen dan kesungguhan kerajaan itu, katanya, dapat dilihat melalui pelbagai bantuan yang diberikan kepada 22,000 masjid dan surau di seluruh negara, guru-guru kelas Al-Quran dan fardu ain (KAFA), sekolah agama dan sebagainya tanpa menafikan hak penganut agama lain.

Apa yang penting, katanya, umat Islam khususnya ahli-ahli UMNO perlu bersatu padu apatah lagi ketika berdepan pelbagai kepungan kumpulan liberalisme, pluralisme serta pejuang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment