My Add

Sunday 9 September 2012

Pembangkang ‘dendang’ isu negatif berterusan

KULAIJAYA, SABTU, 08 September, 2012: Isu-isu yang boleh menimbulkan kebencian, kemarahan dan pecah-belah akan terus ‘didendangkan’ pembangkang bagi menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-13.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau percaya budaya seumpama itu akan terus disemai kerana golongan tersebut sudah tidak ada pendekatan lain selain daripada berterusan membawa isu sedemikian.

Beliau berkata, kejadian menghina pemimpin yang berlaku baru-baru ini adalah bukti tindakan pihak tertentu mengamalkan budaya menjurus ke arah politik sempit, pecah belah serta menuding jari dan melaga-lagakan orang lain.

“Mereka sudah tidak ada cara lain selain membawa pelbagai isu yang boleh timbulkan rasa benci dan marah rakyat terhadap kerajaan dan semakin dekat pilihan raya umum, ia akan menjadi-jadi lagi.

“Saya percaya ini semua akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri UMNO Kulai dan Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulai di Dewan Terbuka Kampung Baru Saleng di sini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, majoriti rakyat Malaysia marah dan menolak tindakan kumpulan terbabit yang dilihat cuba menggadaikan keharmonian negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Apabila pihak berkuasa mengambil tindakan, mereka memutar belit isu terbabit dan menuduh kerajaan menyalah guna kuasa dan bertindak terhadap mereka. Pada kita, jika sudah melanggar undang-undang, yang salah tetap salah," katanya.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata, polis akan terus memburu saki-baki individu disyaki terbabit dalam kejadian memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

“Saya beri jaminan kes yang berkepentingan awam dan cukup beremosi, ia akan diambil tindakan oleh pihak berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing,’’ jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment