My Add

Sunday 9 September 2012

EGS: Malaysia bangga kejayaan APEC

VLADIVOSTOK, Rusia, SABTU, 08 September, 2012: Malaysia bangga dengan kejayaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menghasilkan satu senarai barangan dan perkhidmatan alam sekitar (EGS), yang gagal dilakukan oleh pertubuhan perdagangan lain di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan itu turut merangkumi persetujuan negara anggotanya mengurangkan tarif terhadap sejumlah 54 barangan dalam senarai EGS itu kepada sifar hingga lima peratus pada 2015.

"Ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana mekanisme lain seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang telah membincangkan perkara ini sejak sekian lama, tidak mendapat kata putus.

"Tetapi APEC, dalam masa yang lebih singkat, sudah berjaya capai satu persetujuan yang akan dimasukkan di dalam Pernyataan APEC 2012 esok," jelas beliau dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak APEC di sini hari ini.

Sejumlah 21 anggota ekonomi rantau Asia Pasifik memulakan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM), yang berlangsung selama dua hari di Pulau Russky dekat sini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah antara negara-negara yang gigih memperjuangkan persetujuan untuk mencapai kata sepakat dalam menyenaraikan 54 jenis barangan berkenaan.

Najib berkata, pada hari pertama AELM, perbincangan banyak tertumpu kepada usaha menjayakan Deklarasi Bogor 1994 di ketika ekonomi dunia begitu tertekan dengan pertumbuhan yang rendah dan beban hutang yang tinggi di Eropah.

"Maka pilihan jangka pendek yang ada ialah meningkatkan lagi perdagangan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus mengelak dunia terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi," tegas beliau.

Perdana Menteri berkata, semua anggota APEC perlu mengelak daripada terjebak dalam kecenderungan untuk meningkatkan dasar-dasar perlindungan atau sekatan terhadap perdagangan.

Ditanya mengenai sasaran Malaysia pada Sidang Kemuncak APEC kali ini, Najib berkata, Malaysia mahu anggota-anggota ekonomi APEC terus komited dalam usaha menggalakkan pengintegrasian ekonomi serantau dan pengliberalan perdagangan.

"Kita juga mahu mereka menolak sebarang bentuk sekatan perdagangan agar memberi isyarat yang positif kepada pasaran bahawa kita menyokong dasar-dasar yang mesra perniagaan," katanya lagi. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment