My Add

Sunday 9 September 2012

Seminar khas 30 tahun DPT

VLADIVOSTOK, Rusia, SABTU, 08 September, 2012: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan satu seminar khas sempena ulang tahun ke-30 Dasar Pandang Ke Timur (DPT) pada 10 Oktober depan, dengan tumpuan terhadap hala tujunya.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, seminar itu juga akan menilai semua pencapaian sejak dasar berkenaan diperkenalkan dan apa lagi yang perlu dibuat bagi mencontohi pencapaian Jepun dalam bidang ekonomi dan teknologi.

"Jepun merupakan pelabur utama dan terbesar di Malaysia, maka amat penting sekali bagi Malaysia dan Jepun mengenali keutamaan ini.

"Jepun memberi jaminan bahawa Malaysia masih kekal sebagai satu destinasi pelaburan yang penting bagi pelabur-pelabur negara itu walaupun ada banyak tarikan dari negara lain seperti China," kata beliau dalam satu sidang media di sini semalam.

Terdahulu, Mustapa mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Yukio Edano di luar acara Mesyuarat Menteri-Menteri Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) atau AMM.

Katanya, Malaysia mendapat banyak faedah dan keuntungan hasil daripada dasar yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada 1982, khususnya golongan muda.

"Seminar ini juga mendapat kerjasama dengan Kedutaan Jepun dan juga dewan perniagaan Jepun-Malaysia bagi kita meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

"Kita juga akan menjemput beberapa tokoh utama korporat Jepun yang diharapkan akan memberi pandangan dan idea baru terhadap DPT," tambahnya.

Sementara itu, mengenai pertemuan dengan Edano, Mustapa berkata, Malaysia amat menghargai bantuan kerajaan Jepun dalam meningkatkan kepakaran dan keupayaan vendor automobil Malaysia melalui pelaksanaan program Kerjasama Industri Automobil Malaysia-Jepun (Majaico). - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment