My Add

Thursday 6 September 2012

Fokus kepada ekonomi domestik

  Megat Najimuddin

KUALA LUMPUR, RABU, 05 September, 2012: Tradewinds Corp Bhd berharap Belanjawan 2013 kali ini akan memberi fokus kepada kemampanan pertumbuhan ekonomi domestik di tengah-tengah kemuraman ekonomi dunia pada ketika ini.

Pengerusinya, Tan Sri Megat Najimuddin Megat Khas berkata, usaha harus dibuat untuk memastikan ekonomi negara dapat terus berkembang agar dapat mengurangi kesan kemelesetan ekonomi dunia sekarang.

Beliau berkata, kesan itu jelas dirasai terutamanya dari kelembapan pertumbuhan ekonomi negara-negara Eropah kesan dari masalah hutangnya yang berpanjangan serta kadar pembangunan semasa yang perlahan di negara ekonomi kedua terbesar di dunia, iaitu China.

"Kita seharusnya mencari jalan kita sendiri, dan tidak seharusnya bergantung harap kepada negara lain," katanya kepada pemberita pada jamuan hari raya Tradewinds Corp di sini semalam.

"Malangnya, negara kita masih bergantung kepada barangan import, jadi kita seharusnya perlu meningkatkan daya saing untuk mengeluarkan produk yang lebih kompetitif," katanya.

Megat Najimuddin juga berharap pembentangan belanjawan kali ini dapat terus memberi kestabilan dan keharmonian kepada Malaysia, lebih-lebih apabila menyentuh mengenai senario semasa politik di Malaysia menjelang musim pilihanraya yang akan datang.

"Kita berharap pembentangan kali ini lebih bersifat mesra politik yang mana akan menstabilkan negara dan dapat terus menarik pelancong luar untuk datang ke sini," katanya.

Beliau berkata kestabilan dari segi ekonomi dan politik juga penting bagi menjamin negara untuk terus menarik para pelabur luar untuk datang ke negara ini untuk melabur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment