My Add

Wednesday 5 September 2012

Jakim akan bina makmal halal


*JAMIL Khir Baharom (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian peserta selepas Majlis Perasmian Persidangan Halal Antarabangsa 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

Oleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 04 September, 2012: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membina sebuah makmal khusus untuk memproses permohonan sijil perakuan halal yang mampu mempercepatkan proses pengeluarannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, makmal yang bernilai RM30 juta itu akan dibina di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dan operasi pembinaannya bermula bulan ini.

Katanya, sebelum ini, Jakim menggunakan satu-satunya makmal kerajaan di Petaling Jaya, Selangor untuk memproses sijil berkenaan.

"Setakat ini kita telah memproses dan mengeluarkan lebih 6,300 sijil halal melibatkan beberapa industri seperti perkilangan dan pemakanan menggunakan makmal kerajaan di Petaling Jaya.

"Dengan adanya makmal sendiri, Jakim yakin tempoh memproses sijil halal dapat disingkatkan bergantung kepada permohonan dan kedudukan operasi makmal," katanya selepas merasmikan Persidangan Halal Antarabangsa 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Jamil Khir juga yakin Malaysia bakal menjadi hab halal yang terunggul di dunia pada masa akan datang dengan pembinaan makmal itu.

Katanya, terdapat reaksi positif dari negara lain seperti Vietnam, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang menghubungi Jakim berhubung keperluan memperolehi sijil halal untuk produk yang memasuki negara ini.

"Ini menunjukkan mereka semakin faham dengan tuntutan dan keperluan mengenai sijil halal di Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir memaklumkan UiTM akan menjadi universiti pertama memperkenalkan kursus Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Sains Halal di negara ini.

Beliau berkata, pengenalan kursus itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan industri halal negara menerusi penghasilan modal insan yang lebih arif tentang perkara itu.

"Graduan yang lahir dari kursus ini nanti akan menjadi penghubung antara Halal Development Centre (HDC), Jakim dan industri," katanya.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata, kursus itu akan ditawarkan di kampus induk UiTM di Shah Alam dan dalam proses mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, pengambilan pertama dijangka September 2013 membabitkan 30 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mengikuti pengajian asasi selama setahun sebelum meneruskan ke peringkat ijazah selama tiga tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment