My Add

Sunday 9 September 2012

Jangan percaya 'guruh' Pakatan Rakyat: Zahid Hamidi

    Dr Zahid Hamidi
SEMPORNA, AHAD, 09 September, 2012: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota UMNO, Barisan Nasional (BN) dan pengundi di Sabah supaya tidak mempercayai 'guruh' ciptaan pakatan pembangkang yang disifatkannya pembohongan semata-mata.

Beliau berkata pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas kini sibuk ke sana ke mari menabur bermacam-macam janji kepada rakyat untuk memancing undi meskipun menyedari janji berkenaan tidak dapat mereka penuhi.

"Guruh dicipta untuk menghasilkan bunyi kuat jadi ramai orang akan mencurahkan air di tempayan. Mereka cipta petir dan halilintar tetapi mereka tidak mencipta hujan. Petir dan halilintar dicipta tetapi hujan tidak jadi," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Semporna, yang turut dihadiri Naib Presiden Umno yang juga anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Dewan Masyarakat Semporna di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid pakatan pembangkang sengaja mencipta guruh atau membuat heboh kononnya mereka akan tawan seluruh negara pada pilihan raya akan datang sehingga ada yang terpengaruh dengan janji jawatan Ketua Menteri dan mengambil keputusan 'mencurah air di tempayan' dengan meninggalkan BN.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan anggota UMNO dan BN supaya tidak terpedaya dengan guruh, petir dan halilintar ciptaan pakatan pembangkang berkenaan sebaliknya memberi sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Zahid berkata rakyat seharusnya menilai prestasi pemerintahan pakatan pembangkang di negeri Selangor yang nyata gagal memenuhi janji mereka dalam manifesto pilihan raya umum 2008 lalu agar mereka dapat membuat keputusan tepat mengenai kerajaan yang patut mereka sokong.

Beliau juga berkata BN perlu menang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang bagi memudahkan kerajaan meminda perlembagaan jika perlu demi kebaikan rakyat dan negara.

Di TAWAU, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan setiap anggota UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu melupakan seketika budaya selesa bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, semua anggota UMNO dan BN perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke-12 yang lepas dengan sentiasa bersiap siaga menghadapi apa juga ranjau dan cabaran menjelang pilihan raya nanti," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tawau yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Tawau yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau juga mengingatkan anggota UMNO supaya memberi sokongan padu kepada siapa sahaja calon yang diketengahkan parti itu pada pilihan raya akan datang.

Sebelum itu, Ahmad Zahid bersama rombongannya, UMNO Bahagian Bagan Datoh menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment