My Add

Wednesday 5 September 2012

Jenazah Hamzah Abu Samah selamat dikebumi

KUALA LUMPUR, RABU, 05 September, 2012: Jenazah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah dikebumikan di perkarangan Masjid Negara di sini pada kira-kira pukul 3.30 petang hari ini.

Jenazah Allahyarham sebelum itu ditempatkan di dewan solat utama Masjid Negara pada pukul 1 tengah hari bagi membolehkan orang ramai menziarah dan memberikan penghormatan terakhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai solat jenazah sejurus selepas solat Zohor sebelum jenazah diusung ke kawasan pusara itu yang terletak bersebelahan Makam Pahlawan bagi pengebumian.

Turut berada pada pengebumian itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengiringi mereka ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad.

Najib ketika ditemui selepas pengebumian itu berkata Allahyarham memberi banyak sumbangan kepada negara, dalam pelbagai jawatan yang dipegang sama ada dalam bidang poltik atau sukan.

"Barangkali, kejayaan bola sepak tanah air dan sukan tanah air ketika Allahyarham memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), amat diingati dan dikenang oleh para peminat sukan dan rakyat secara keseluruhannya," kata Najib.

Perdana Menteri berkata Allahyarham sebagai tokoh politik juga banyak menyumbang kepada perjuangan selepas negara mencapai kemerdekaan bersama-sama bapanya (perdana menteri Malaysia kedua) Tun Abdul Razak Hussein.

Najib juga menyifatkan Allahyarham Hamzah sebagai antara individu yang telah berjuang dalam asas pembentukan negara bersama-sama dengan tokoh lain dan memberi sumbangan besar kepada bangsa, agama dan negara.

Hamzah, 88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira pukul 3.30 petang semalam (4 Sept) di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan.

Hamzah yang juga adik ipar Tun Abdul Razak, meninggalkan isteri Toh Puan Zainon, dan tujuh anak - lima lelaki dan dua perempuan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment