My Add

Monday 3 September 2012

JHEAT mahu selesai isu 2 solat Jumaat

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 03 Septembee, 2012: Sempena ulang tahun ke-100 penubuhannya tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengutamakan untuk menyelesai isu dua solat Jumaat dalam satu kariah yang masih berlaku di 11 buah masjid di Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata perkara itu dapat dilakukan lebih-lebih lagi dengan pertambahan kuasa yang dimilikinya setelah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) Pindaan 2012 diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri April lalu.

"Dengan pindaan ini, JHEAT boleh bertindak kepada mana-mana pihak yang masih berdegil untuk terus mengadakan solat Jumaat tanpa kebenaran dan masalah ini dijangka selesai sebelum sambutan penubuhan JHEAT tahun depan (acara sambutan)," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEAT di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh dan Pengarah JHEAT, Samsiah Awang.

Sebelas masjid itu ialah lapan di Besut, Dungun (2) dan Marang (1) yang dikategorikan sebagai masalah tegar berikutan kesukaran menyelesaikan isu itu sejak 30 tahun lalu.

Mazlan berkata sejak 1980, terdapat 32 masjid yang mengadakan dua solat Jumaat dan ia berjaya diselesaikan secara berperingkat setelah mengadakan perbincangan dan ada antaranya yang diambil tindakan termasuk buang kerja dan dihadapkan ke mahkamah.

"Satu kajian juga telah dilakukan oleh pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mengkaji permasalahan itu secara mendalam dengan langkah penyelesaian yang dijangka mampu mengelak ia dari berlaku lagi.

"Kerajaan negeri juga mengingatkan supaya pembaca khutbah hanya membaca teks yang disediakan oleh JHEAT kerana jika mereka tidak mematuhinya, tindakan boleh diambil walaupun mereka mempunyai tauliah," katanya.

Pengurusan masjid juga diingatkan supaya tidak membenarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah di masjid kerana ia melanggar peraturan JHEAT. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment