My Add

Monday 3 September 2012

Tun Mahathir terima ijazah doktor kehormat UNS-Solo

SURAKARTA (Jawa Tengah), ISNIN, 03 September, 2012:: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini diberi penghormatan menerima anugerah Doktor Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya Dalam Bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu oleh Universiti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo), Jawa Tengah.

Anugerah ijazah doktor kehormat itu disampaikan oleh Rektor Universiti Sebelas Maret, Prof Dr Ravik Karsidi dalam Sidang Senat Terbuka di Auditorium, kampus induk UNS-Solo di sini.
Ia diberi bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau kepada usaha meningkatkan martabat bangsa Melayu di peringkat dunia.

Tun Mahathir adalah tokoh kedua menerima ijazah doktor kehormat daripada universiti itu, selepas bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Indonesia Dr Mas'ud Wisnu Wardana, dianugerahi ijazah doktor kehormat dalam bidang pertanian, tiga tahun lalu.

UNS-Solo adalah sebuah daripada universiti awam ternama di Indonesia yang kini berada di ranking ketujuh antara 72 universiti awam di seluruh Indonesia.

Anugerah Doktor Kehormat oleh universiti itu bertujuan memberi penghormatan kepada seseorang yang telah berjasa secara luar biasa dalam pengembangan ilmu pengetahuan, teknologi, kebudayaan, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

UNS-Solo menilai bahawa Tun Mahathir mempunyai komitmen yang kuat dalam kepimpinan dan pemerkasaan bangsa Melayu, yang terbukti mampu memajukan kehidupan dan mengangkat darjat bangsa Melayu sejajar dengan bangsa lain di dunia.
Sempena penganugerahan itu, Tun Mahathir menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Memperkasa Bangsa Melayu' dalam Sidang Senat Terbuka itu dan beliau memberi pandangannya tentang bagaimana bangsa Melayu boleh mengembalikan dan mengukuhkan ketinggian tamadun Melayu di zaman sekarang.

Antara lainnya, Tun Mahathir berkata, bangsa Melayu yang menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi bukan sahaja mampu mengembalikan ketinggian dan keteguhan tamadunnya sejajar dengan tamadun bangsa lain di dunia pada zaman ini, bahkan boleh mengatasi tamadun bangsa lain.

Selepas upacara di UNS-Solo, Tun Mahathir yang diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kemudian menziarahi makam bekas Presiden Indonesia Soeharto di Astana Giribangun, Karanganyar, Jawa Tengah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment