My Add

Thursday 13 September 2012

JLKN perkenal modul "smart solat" bantu pelatih beribadah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 September, 2012: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memperkenal modul "Smart Solat" tahun ini bagi membantu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak menguasai kemahiran dan mendalami ibadah solat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata modul itu penting bagi membantu pelatih beragama Islam mempelajari asas dan mendalami ibadah solat untuk dijadikan panduan dan amalan hidup seharian.

"Program ini menitikberatkan penguasaan pelatih dari sudut bacaan dan akan dilaksanakan secara sistem "buddy" oleh rakan pelatih yang dipilih dengan bimbingan fasilitator," katanya pada sidang media pelancaran modul Smart Solat di sini, hari ini.

Beliau berkata kandungan program itu disusun khas untuk pelatih PLKN dengan menekankan prinsip asas dan amali pembelajaran serta pengajaran solat.

Ahmad Zahid berkata antara objektif program ialah memberi motivasi kepada pelatih meningkatkan pengetahuan agama terutama ibadah solat dan memastikan pelatih mampu menunaikan solat dengan sempurna selepas mengikuti sepenuhnya modul itu.

"Selain itu, aktiviti agama lain seperti Buddha, Kristian, dan Hindu juga diberi penekanan dan pelaksanaannya disusun secara formal dan berjadual dengan mengguna pakai modul yang disediakan koordinator persatuan agama masing-masing.

"Perbincangan mengenai penambahbaikan program kerohanian dalam PLKN juga diadakan secara berkala setiap tahun dengan koordinator persatuan agama yang dilantik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment