My Add

Thursday 13 September 2012

Sapina DPP: Mahkamah batal rayuan peguam, tiga individu

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, KHAMIS, 13 September, 2012: Empat tertuduh dalam kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan sapina yang telah dikeluarkan terhadap tiga timbalan pendakwa raya (DPP) untuk menjadi saksi pembelaan pada prosiding tersebut.

Ia berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Aziah Ali membenarkan bantahan awal pendakwa raya.

Kuorum itu turut menolak permohonan barisan peguam bela yang mewakili perayu-perayu agar perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang tertangguh sejak 27 Julai lalu, digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Panel tersebut memutuskan demikian selepas bersetuju dengan penghujahan DPP Manoj Kurup, tiada keadaan istimewa yang memerlukan mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan.

Perayu-perayu terdiri daripada bekas peguam N. Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32.

Mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment