My Add

Thursday 27 September 2012

Jumlah peruntukan mungkin meningkat 20%

KUALA LUMPUR,RABU, 26 September, 2012: Jumlah peruntukan bagi Bajet 2013 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dijangka meningkat kira-kira 10 peratus hingga 20 peratus atau sehingga RM300 bilion berbanding RM232.8 bilion dalam Bajet 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Spire Research and Consulting, Leon Parera berkata, peningkatan peruntukan itu sebahagiannya adalah disebabkan perbelanjaan besar oleh kerajaan dalam projek yang sedang dibangunkan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Projek ETP dilihat sebagai usaha besar-besaran yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai wawasan 2020 untuk muncul sebagai sebuah negara maju kerana lebih 50 peratus daripada kos projek ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Parera berkata, sukar bagi sektor swasta untuk mengambil bahagian yang besar dalam projek ETP tetapi masih terdapat banyak syarikat tempatan yang mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk membiayai projek-projek itu.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mungkin meningkatkan jumlah peruntukan bajetnya yang akan secara langsung meningkatkan defisit fiskalnya, ini merupakan sebahagian daripada tindakan pengimbangan yang diambil bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan.

"Kami melihat defisit boleh dikurangkan sebahagiannya dengan meningkatkan hasil kerana kerajaan telah mengatasinya setakat ini bagi tahun ini, terutamanya dengan kutipan cukai korporat dan duti-duti lain," katanya.

Pada masa hadapan, Parera berkata, hasil juga akan dipengaruhi oleh situasi luar negara yang lebih baik terutamanya dengan perkembangan ekonomi lebih positif di Amerika Syarikat dan Eropah.

"Kami juga menjangka penambahbaikan permintaan dari Eropah, terutamanya bagi eksport produk elektrik dan elektronik tempatan serta permintaan dari AS dan China.

"Pada asasnya, dalam tempoh enam hingga 12 bulan, kita sepatutnya menyaksikan penambahbaikan sedikit dalam situasi eksport bagi Malaysia dan ini akan membantu kerajaan meningkatkan hasil dan memudahkan ia untuk mengurangkan defisit fiskalnya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment