My Add

Thursday 27 September 2012

Liong Sik dakwa tak pernah terima surat

KUALA LUMPUR, RABU, 26 SeptEmber, 2012: Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik mendakwa, dia tidak pernah menerima surat daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan terdapat kesilapan dalam suratnya berhubung cadangan pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang.

Malahan menurut Liong Sik, ketika menandatangani suratnya yang bertarikh 29 Jun 2002 kepada Dr. Mahathir, dia tidak menyedari terdapat sebarang kesilapan dari segi kandungan.

Tiada siapa juga, kata saksi pembelaan pertama itu, memberitahunya tentang kesilapan tersebut sehinggalah dia menamatkan perkhidmatan dalam Kabinet pada 2003.

Liong Sik berkata demikian semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah tersebut membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan penipuan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Menurut Liong Sik, 68, dia merasakan bukan tugasnya untuk mengambil tahu tentang nilai harga keseluruhan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Sebaliknya, kata tertuduh, tugasnya adalah untuk mendapatkan tanah, sementara tugas lain dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan, Perbendaharaan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Ketika disoal semula oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakilinya tentang siapa yang memaklumkan bahawa kerajaan tidak berupaya membiayai projek PKFZ, kata Liong Sik, perkara tersebut diketahui daripada Kementerian Kewangan yang lebih memahami selok-belok kewangan.

Prosiding yang berjalan selama sejam setengah mulai pukul 9 pagi itu bagaimanapun terpaksa dihentikan lebih awal apabila Liong Sik dilihat tidak dapat meneruskan keterangannya di peringkat pembelaan tersebut.

Khian Kheong kemudian memohon penangguhan dengan alasan anak guamnya itu tidak sihat dan kelihatan letih serta perlu pergi ke hospital kerana dipercayai kandungan gula dalam darahnya rendah.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan penangguhan dan menetapkan perbicaraan bersambung Jumaat ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment