My Add

Tuesday 11 September 2012

Kastam rampas barang seludup bernilai RM392 juta

BUTTERWORTH, SELASA, 11 September, 2012: Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM392 juta bagi lapan bulan pertama tahun ini, meningkat 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khazali Ahmad berkata, barangan terbabit yang
dirampas menerusi 4,117 kes membabitkan nilai cukai RM263 juta iaitu peningkatan tiga peratus berbanding 2011.

"Barangan paling banyak dirampas berdasarkan nilai ialah rokok, dadah,
tekstil, kenderaan dan minuman keras," katanya selepas pelancaran Operasi Tetap Patroli Laut Terkoordinasi Kastam Malaysia-Indonesia 2012, di sini hari ini.

Katanya, barangan terbabit dikategori sebagai barangan kritikal dan banyak
diseludup kerana kadar cukainya yang tinggi selain memerlukan permit import dan permintaannya juga tinggi.

"Sehingga 31 Ogos lalu, kami merampas rokok bernilai RM27 juta dan
jumlah itu menurun sebanyak 40 peratus daripada nilai rampasan bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM45 juta.

"Namun jumlah kes rampasan rokok meningkat sebanyak 26 peratus bagi
lapan bulan pertama tahun ini iaitu 1,868 kes rampasan rokok berbanding tahun
lepas sebanyak 1,487 kes," katanya.

Khazali berkata, kejayaan pihaknya adalah hasil beberapa strategi yang
dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini termasuk kerjasama dengan
agensi penguat kuasa lain.

Katanya, orang ramai juga memainkan peranan penting dalam membantu jabatan
itu membanteras penyeludupan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment