My Add

Friday 7 September 2012

Pembangkang punca rakyat kurang kibar Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 06 September, 2012: Sikap kurangnya semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang biarpun dalam bulan kemerdekaan berpunca daripada kempen politik kebencian parti pembangkang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu jelas menunjukkan sikap sesetengah pihak yang lebih mementingkan parti daripada negara sendiri.

Tegasnya, keadaan itu merupakan suatu yang bahaya kerana ia mampu menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat, sekaligus menjadikan negara tidak selamat.

"Mereka tidak setia kepada negara, tetapi setia kepada parti dan sebab itu golongan ini sanggup mengibarkan bendera sendiri daripada Jalur Gemilang.

"Sekiranya sikap ini dikembangkan, negara tidak akan mempunyai satu simbol yang diterima semua pihak tetapi lebih bersifat individu atau pihak-pihak tertentu," katanya ketika sesi soal jawab dalam majlis Sepetang Bersama Tun Dr. Mahathir di sini hari ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Kelab Pesara Kerajaan Lembah Pantai itu membuka ruang kepada para hadirin untuk berdialog bersama Dr. Mahathir.

Hadir sama, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dr. Mahathir berkata, politik kebencian yang dibawa oleh pembangkang juga menyebabkan banyak pihak menutup mata terhadap kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan.

"Kalau sudah benci, kita tidak nampak lagi kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan, malah menjadikan kita tidak mampu untuk berfikir dengan lebih baik," ujarnya.

Jelasnya, sikap sesetengah pihak yang lebih mementingkan parti politik sehingga sanggup memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu juga merupakan antara anasir yang mampu menggugat kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi selama ini.

Katanya, UMNO telah membuktikan penyertaan selama lebih 55 tahun dalam pentadbiran negara berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini melalui konsep perkongsian kuasa yang diamalkan.

"Inilah Malaysia, kita berkongsi apa sahaja secara bersama termasuklah soal pentadbiran dan kuasa, malah, konsep ini telah dimulakan sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman lagi," tegasnya.

Selain itu, Dr. Mahathir turut mengingatkan rakyat bahawa menukar kerajaan bukanlah satu jaminan untuk negara menjadi lebih baik daripada apa yang dikecapi kini.

Ini kerana jelasnya, ia juga boleh menjadikan negara lebih teruk daripada sekarang.

"Tukar tidak semestinya yang terbaik, tetapi mungkin menjadi terburuk. Kalau tidak percaya pergilah lihat sendiri ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan sama dengan Malaysia, bagaimana keadaan mereka sekarang," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment