My Add

Tuesday 11 September 2012

Kerajaan jangka umum angka defisit bajet lebih rendah

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 September, 2012: Kerajaan dijangka mengumumkan satu angka defesit bajet lebih rendah di bawah Bajet 2013, sejajar dengan sasarannya untuk mencapai defisit 3.0 peratus menjelang 2015.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata setiap tahun kerajaan sentiasa mengkaji defisit itu semasa menyediakan bajet dan sentiasa memastikannya di bawah 5.0 peratus.

"Bagi Bajet 2013, kami akan mengurangkan defisit kita berbanding dengan angka tahun ini, yang kita anggarkan kira-kira 4.7 peratus."

"Kabinet telah meluluskan draf bajet, jadi kita sedang bersedia memperhalusinya dan menyediakan ucapan bajet," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Pemikiran Ketua Pegawai Kewangan di sini hari ini.

Semasa berucap Husni berkata: "Kita perlu mengkaji semula defisit fiskal mengikut beberapa perspektif seperti mana kita tidak boleh melihat perangkaan keluaran dalam negara kasar di dalam konteks mudah dan terpencil."

"Bagi mencapai pertumbuhan ekonomi, sesuatu negara perlu membelanjakan wang. Wang ini perlu diperolehi dari sesuatu tempat -- perolehan cukai, pendapatan dari Petronas dan tempat lain."

"Seperti negara lain, kita juga perlu berhutang. Langkah berhutang tidak buruk asalkan ia dilakukan secara cekap dan berhemah."

Persidangan sehari, yang bertemakan "Meningkatkan Pertumbuhan Sambil Menyeimbangkan Risiko dan Ganjaran", menyasarkan perkongsian pengalaman melalui persembahan solo dan perbincangan meja bulat berinteraktif. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment