My Add

Wednesday 12 September 2012

Kerajaan perlu tekan pelaksanaan

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 September, 2012: Kerajaan perlu meneliti dan menekankan aspek pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 supaya keberhasilan pelan itu dapat dijamin sekali gus merealisasikan impian menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf global.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN),Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hasan berkata, laporan awal yang dilancarkan sudah meyakinkan pelan itu mampu memperkasakan sistem pendidikan negara.

Namun tegasnya, bagi memastikan kejayaan dan keberhasilan pelan berkenaan, kerajaan tidak boleh mengambil ringan aspek perlaksanaannya.

"PIBGN mencadangkan agar satu jawatankuasa atau audit pendidikan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan pelan tersebut supaya ia selari dengan matlamat dan hasrat kita untuk menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi ini.

Mohd. Ali menambah, pihaknya juga mengalu-alukan cadangan untuk memperkasakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.

"Kita harap kerajaan memperkenalkan geran khas dan anugerah-anugerah tokoh PIBG bagi memberikan motivasi serta dorongan kepada PIBG untuk bersama dengan para guru dalam memangkin kualiti pendidikan negara," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan),Syed Anuar Syed Mohamad menegaskan, semua kelompok pelaksana termasuk para guru, ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan hasrat memperkasakan sistem pendidikan negara tercapai.

Ini kerana jelasnya, dasar yang dirangka kerajaan sememangnya menunjukkan pelan kelas pertama dan amat meyakinkan dalam usaha mentransformasikan sistem pendidikan.

"Dasar itu sudah cantik namun sekiranya pelaksana tidak memainkan peranan dengan baik sudah tentu hasilnya akan mengecewakan. Tiada guna dasar dirangka dengan baik tetapi kelompok pelaksana mengambil sikap sambil lewa," tegasnya.

Beliau menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pendidikan dan masyarakat bersama-sama memberikan pandangan tambahan mengenai laporan awal pelan yang dilancarkan itu.

"Melalui pandangan semua pihak, dapatlah kita memantapkan lagi draf awal laporan itu sebelum ia dilancarkan sepenuhnya kelak," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment