My Add

Wednesday 12 September 2012

KPI pastikan pelaksanaan cekap, berkesan

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 September, 2012: Pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran khususnya kumpulan pengurusan tertinggi perlu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi memastikan kesemua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012 dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, KPI itu akan dikuatkuasakan sepanjang tempoh 13 tahun pelaksanaan pelan tersebut dan dikaitkan dengan pencapaian setiap sasaran yang ditetapkan.

"KPI ini akan disebarkan ke peringkat bawah, dari kementerian hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat yang hendak dicapai adalah tekal dan selari," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau menambah, kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu pelaksanaan pelan itu.

Menurut beliau, unit berkenaan bertanggungjawab memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklum balas secara berterusan.

"Pegawai yang ditempatkan di unit ini terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan berpengalaman luas dalam mengurus transformasi di sektor awam atau swasta," ujarnya.

Jelas Muhyiddin, kementerian juga akan mengadakan Hari Terbuka bagi membolehkan orang ramai meneliti kandungan pelan berkenaan dan mendapatkan penjelasan serta mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan.

"Saya percaya apabila pelan ini dibentangkan kepada Kabinet kelak dan dimuktamadkan pada Disember ini, apa yang terhasil adalah satu pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment