My Add

Monday 24 September 2012

Kertas laporan bantahan kenyataan Ngeh kepada unit pendakwaan

IPOH, ISNIN, 24 September, 2012: Polis akan menyerahkan kertas cadangan kepada Ketua Unit Pendakwaan negeri Perak berhubung laporan polis yang dibuat terhadap kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang didakwa mempertikai bantahan umat Islam terhadap filem 'Innocence of Muslims' dalam masa terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, kertas cadangan itu diserahkan kepada unit berkenaan untuk tindakan lanjut bagi menentukan sama ada kes yang membabitkan Ngeh itu akan terus disiasat atau sebaliknya. 

"Kita akan kumpul dan teliti setiap laporan polis yang diterima berdasarkan sudut-sudut yang tertentu. Dalam masa yang sama kita sediakan cadangan untuk dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk menentukan kes ini perlu disiasat atau pun tidak," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini jumlah laporan yang diterima masih kekal 237 dan dijangka masih ada laporan yang akan dibuat berhubung kes itu.

Dalam tweetnya, Ngeh dikatakan mempersoal hasrat ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk mengadakan bantahan terhadap penerbitan filem itu dan bertanya sama ada umat Islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga berkaitan isu itu.

Filem anti-Islam 'Innocence of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Selepas membuat permohonan maaf Ngeh dalam laman tweeter membuat kenyataan yang berbunyi "No hope for Umno. Their best brains Zambry & Khairy so low std. People who read my tweet will have only disdain for them"
(Tiada harapan buat UMNO. Orang mereka sebijak Zambry dan Khairy rendah standardnya. Mereka yang membaca tweet saya hanya akan membenci mereka). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment