My Add

Sunday 9 September 2012

KKLW harap peruntukan lebih banyak

KUALA KUBU BAHARU, SABTU, 08 September, 2012: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berharap kementerian itu tidak dilupakan dalam pengagihan peruntukan kewangan untuk tahun depan.

Beliau berkata, masih banyak kampung-kampung yang memerlukan bantuan terutama dari aspek kemudahan asas termasuk bekalan air dan elektrik.

Katanya, peruntukan yang disalurkan kepada kementerian untuk dibelanjakan tahun ini telah diguna sebaik mungkin.

"Rumah-rumah yang kita bina bukan rekaan. Jalan raya pula kita diminta bina sepanjang 3,000km (bagi tempoh 2010-2012), tetapi sehingga Julai ini kita sudah siapkan 2,765km," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan serentak Wanita UMNO dan perwakilan Bahagian Hulu Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas harapan kementeriannya untuk Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini.

Pada Belanjawan 2012, kementerian itu menerima peruntukan besar berjumlah RM5 bilion untuk pembangunan infrastruktur asas luar bandar.

Mohd Shafie berkata, walaupun kemajuan yang dibawa itu tidak kesemuanya dapat dilihat, namun apa yang penting adalah rakyat dapat menikmati segala kemudahan tersebut.

Tambahnya, kementerian tidak hanya melihat kepada pembangunan infrastruktur tetapi turut menitikberatkan pembangunan modal insan termasuk aspek pendidikan dari awal usia kanak-kanak.

"Saya yakin Perdana Menteri mengambil perhatian tentang keperluan dan keupayaan masyarakat luar bandar.

Mengenai Pelan Transformasi Pendidikan yang akan dilancarkan Selasa ini, Mohd. Shafie berharap kerajaan akan memastikan kemudahan sedia ada diguna sebaik mungkin agar pelajar luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak merasai kesannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment