My Add

Monday 3 September 2012

KPN beri amaran keras

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, AHAD, 02 September, 01: Tindakan segelintir pihak membawa bendera 'baru' pada malam sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini jelas cuba membelakangkan kedaulatan dan undang-undang negara.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras dan meminta penganjur perhimpunan tersebut tampil membantu siasatan sebelum tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) menegaskan, perbuatan kumpulan itu cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat dan boleh menggugat ketenteraman awam.

"Begitu juga tindakan mereka memijak gambar Perdana Menteri dan isteri, ia bukan sahaja perbuatan tidak bertamadun, tidak menghormati tatasusila kehidupan manusia malah mereka bersikap jahat dengan menghasut rakyat membenci pemimpin negara.

"Perbuatan ini dilihat menjurus untuk mengancam kestabilan negara. Untuk itu, kita tidak teragak-agak memanggil penganjur perhimpunan tersebut bagi memberi keterangan bagaimana dia boleh membenarkan kejadian ini berlaku," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pada ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka, selain memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, terdapat segelintir peserta membawa bendera merah putih seakan-akan bendera Singapura yang didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam menyifatkan tindakan kumpulan tersebut sebagai melampau dan bertujuan menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.

Ismail seterusnya berkata, tindakan yang dilakukan kumpulan itu menunjukkan mereka sengaja menyalahgunakan kebenaran berhimpun yang diberi oleh kerajaan pada malam sambutan itu.

"Polis kesal kerana kumpulan ini seolah-olah sengaja mencabar pihak berkuasa. Kita beri kebenaran tapi mereka salah guna.

"Perbuatan kumpulan ini juga dilihat cuba menggugat Perlembagaan Negara. Polis akan siasat kejadian ini dan bertindak mengikut lunas undang-undang," tegas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment