My Add

Tuesday 11 September 2012

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi melancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Beliau menyifatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 begitu komprehensif dan menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah yang dilaksanakan kerajaan itu adalah cerminan kepada generasi masa depan Malaysia yang lebih gemilang berasaskan pendidikan berkualiti.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif berkenaan.

Terdahulu laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha berkenaan akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel. 

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baru berkenaan.

Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.
Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

No comments:

Post a Comment