My Add

Monday 10 September 2012

Letupan di rumah anak yatim

JAKARTA, AHAD, 09 September, 2012: Kira-kira lima orang cedera termasuk seorang suspek pengganas apabila bom yang dipercayai sedang dibuat, meletup di sebuah rumah di Depok, luar bandar Jakarta.

Jurucakap polis kebangsaan, Anang Iskandar berkata, letupan berlaku di sebuah bangunan yang disenaraikan sebagai rumah anak yatim pada lewat malam tadi.

Sekurang-kurangnya tiga orang yang tinggal berdekatan rumah tersebut cedera, manakala seorang lelaki dipercayai suspek pengganas cedera teruk.

Saksi berkata, seorang daripada dua suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian juga dipercayai cedera.

Anang berkata, mangsa lelaki yang cedera teruk mengalami patah tangan dan melecur antara 50 dan 70 peratus badannya.

''Antara bahan yang dirampas dari rumah tersebut adalah bom tangan, peletup dan potasium klorida,'' katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS).

Seorang lagi jurucakap polis, Rikwanto berkata, rumah anak yatim itu mungkin digunakan untuk mengaburi aktiviti keganasan mereka.

''Polis sedang menyiasat sama ada letupan itu mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian berunsur keganasan sebelum ini.

''Kami percaya pengganas sedang menyediakan bom di rumah tersebut. Siasatan sedang dijalankan sama ada mereka daripada kumpulan sama,'' katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment