My Add

Monday 10 September 2012

Peruntukan khas Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025

*MUHYIDDIN Yassin merangkap Timbalan Presiden UMNO bersalaman dengan para perwakilan pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, semalam. Turut sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (lima dari kiri). - BERNAMA

PAGOH, AHAD, 09 September, 2012: Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa ini akan menerima peruntukan khas di bawah Bajet 2013 bagi memastikan pelaksanaannya berjaya dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlahnya masih belum ditentukan dan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan secara dasarnya sudah bersetuju dan menyokong keperluan dana itu.

"Perdana Menteri kata akan beri perhatian perkara ini dan minta pihak Kementerian Pelajaran terjemahkan segala bentuk perakuan yang hendak dilaksanakan dari segi kewangan diperlukan.

"Setiap perakuan ada kosnya dan ini (jumlah) sedang disediakan, nanti kita kemukakan untuk beliau teliti tetapi harapan saya dalam Bajet 2013 mungkin ada satu peruntukan khas dapat disediakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Tahir Taat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang akan dilancar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Selasa ini bertujuan menghasilkan modal insan unggul, kreatif, berkemahiran tinggi serta berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Pelaksanaannya melibatkan tempoh 13 tahun dengan tiga fasa iaitu gelombang pertama merangkumi perkara yang mudah dilaksanakan dan memberi impak tanpa memerlukan perubahan struktur dan kewangan sebelum diikuti gelombang kedua dan ketiga yang masing-masing memakan masa lima tahun.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, peruntukan khas diperlukan kerana pelan transformasi pendidikan itu mengambil masa panjang dan setiap fasa mempunyai perancangan yang memerlukan dana lebih daripada biasa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment