My Add

Thursday 13 September 2012

Masalah pelajar Nigeria dibincang

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 September,2012: Isu pelajar Nigeria yang ditipu oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta masalah sosial yang sering ditimbulkan mereka di negara ini, adalah antara perkara utama yang dibincangkan pada pertemuan antara Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dengan Pesuruhjaya Tinggi Nigeria ke Malaysia, Bello Shehu Ringim.

Mengulas pertemuan yang berlangsung di pejabat Yang Dipertua Dewan Negara di bangunan Parlimen di sini, hari ini, Abu Zahar berkata, dalam kunjungan selama sejam dengan Bello, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Nigeria sentiasa memandang serius penipuan yang berlaku dan juga masalah yang ditimbulkan rakyatnya, termasuk persepsi negatif terhadap pelajarnya.

"Duta berkata kerajaan Nigeria sangat serius untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan turut menjelaskan antara faktor utama masalah sosial itu timbul kerana terdapat segelintir IPTS yang gagal menyediakan jadual pembelajaran yang komprehensif.

"Kegagalan tersebut mengakibatkan banyak masa terluang, akhirnya memberi ruang pelajar-pelajar terlibat dalam masalah sosial," katanya.

Katanya, beliau turut dimaklumkan, ada segelintir IPTS negara ini yang menggunakan orang tengah di Nigeria bagi memikat pelajar ke Malaysia dengan pelbagai janji menarik, namun apabila tiba, tidak semua yang dijanjikan tersedia.

"Bello turut memaklumkan pelajar yang masuk ke negara ini kebanyakannya tidak melalui saluran kerajaan, justeru ia menyukarkan kerajaan Nigeria untuk memantau pergerakan mereka," katanya.

Abu Zahar berkata, pada pertemuan yang turut membincangkan perkembangan terkini dalam hubungan dua hala Malaysia dengan Nigeria, beliau menjelaskan bahawa Malaysia sentiasa komited bagi menyelesaikan masalah tersebut, dan yakin kedua-dua negara memerlukan pendekatan komprehensif dalam menangani masalah tersebut.

Menurutnya lagi, Duta Nigeria berharap dapat mengadakan pertemuan segera dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran bagi membincangkan masalah tersebut.

Sementara itu, Abu Zahar turut menerima kunjungan hormat dari Duta Uzbekistan di Malaysia, Shukur Sabitov.

Mengulas kunjungan hormat oleh Shukur Sabitov yang telah tiga tahun berkhidmat di Malaysia, Abu Zahar berkata perbincangan lebih menjurus kepada meningkatkan lagi perhubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara khususnya berkaitan bidang pendidikan, ekonomi dan pelancongan.

"Terdapat kira-kira 600 lebih pelajar Uzbekistan yang menuntut di seluruh negara serta peningkatan jumlah pelancong Malaysia ke Uzbekistan yang sememangnya terkenal dengan sejarah tamadun Islam yang menarik merupakan perkembangan positif yang perlu dipertingkatkan lagi," katanya.

Abu Zahar berkata, Shukur turut mengundang beliau bersama-sama Ahli Dewan Negara yang lain untuk mengadakan lawatan ke Uzbekistan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment