My Add

Thursday 13 September 2012

Tunku Puteri Intan Safinaz Pro-Canselor UUM

ALOR SETAR, KHAMIS, 13 September, 2012: Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu pada konvokesyen ke-25 universiti itu 18 September ini.

Tokoh korporat bidang hartanah, pengerusi eksekutif MK Land, Tan Sri Mustapha Kamal pula akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) manakala dua orang akan dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada majlis itu.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah akan menyempurnakan pemasyhuran dan penganugerahan itu pada sesi khas (pertama) konvokesyen itu.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, pelantikan Tunku Puteri Intan Safinaz menjadikan UUM mempunyai tiga Pro-Canselor.

Dua lagi Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

"Pelantikan Tunku Puteri Instan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah sebagai Pro-Canselor, menjadi sejarah sebagai wanita pertama menyandang jawatan itu di UUM," kata Dr Mohamed Mustafa pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pakar bidang pelancongan, Prof Datuk Dr Abdul Kadir Lebai Din dan pakar sejarah serta pengajian antarabangsa, Prof Dr Ranjit Singh Darsan Singh akan menerima gelaran Profesor Emeritus.

Seramai 7,549 graduan iaitu 132 penerima Doktor Falsafah (PhD); 23 Doktor Pentadbiran Perniagaan; 1,494 (Sarjana); 39 (Diploma Siswazah Sains Koreksional); 5,698 (Sarjana Muda); dan 163 (Diploma lepasan ijazah (Pendidikan) bakal menerima ijazah mereka dalam lapan sesi bermula 6 hingga 10 Oktober.

Prof Dr Mohamed Mustafa berkata, wanita mendominasi penerimaan ijazah dengan seramai 5,015 orang dan lelaki 2,534 orang manakala penerima ijazah PhD tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.

Di samping itu seramai 207 orang graduan terpilih menerima anugerah khas termasuk pingat emas atas kecemerlangan akademik mereka.

Katanya, pesta konvokesyen ke-25 akan berlangsung mulai 3 hingga 10 Oktober dan pelbagai program diatur untuk memeriahkannya termasuk jualan di gerai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment