My Add

Wednesday 26 September 2012

MotoGP di Sepang jadi festival luar dewan terbesar

SINGAPUR, RABU, 26 September, 2012: Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, edisi ke-22 MotoGP Malaysia di Sepang bulan depan akan menampilkan tidak kurang daripada 60 pempamer termasuk pengeluar motosikal utama, menjadikan ia festival motosikal luar dewan terbesar diadakan di Malaysia.

Peminat yang menghadiri MotoGP itu dari 19-21 Okt ini, bukan sahaja dapat merasai pengalaman luar trek yang tiada tandingan dengan menyaksikan paparan model motosikal terkemuka dunia, persembahan dan barangan motosikal tetapi akan merasai pelbagai aktiviti menyeronokkan di kawasan penonton.

Bercakap kepada pemberita di sini, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali berkata: “Tidak dinafikan ia akan menjadi yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah GP Malaysia dari segi pameran dan pengalaman di luar trek.” Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Singapura Zalizam Zakaria.

Razlan berkata pelbagai aktiviti disediakan kepada penonton selain daripada menikmati keseronokan dalam menyaksikan aksi pelumba terbaik dunia pada perlumbaan tersebut.

Kepada peminat Singapura, Razlan berkata MotoGP Malaysia sememangnya acara yang tiada peminat perlumbaan motosikal mahu ketinggalan, terutamanya jika mereka adalah peminat muzik rock.

"Kami mensasarkan rekod 70,000 penonton untuk perlumbaan itu dan kita mahu setiap peminat pulang dengan perasaan gembira,” kata Razlan sambil menambah bahawa SIC boleh membantu konvoi mendapatkan kawasan letak kereta khusus jika memaklumkan lebih awal perancangan mereka untuk datang ke Sepang.

Katanya Singapura sentiasa menyumbang peratusan yang besar kehadiran penonton pada perlumbaan itu dan beliau mengharapkan lebih ramai penonton dari republik itu kali ini memandangkan pelbagai tarikan menarik disediakan SIC.

Menganjurkan Pusingan ke-16 Kejohanan Dunia MotoGP FIM 2012 dari 19-21 Okt ini, perebutan kejuaraan dunia akan mencapai kemuncaknya dan Sepang mungkin menjadi pentas dalam menobatkan gelaran berkenaan.

Mendahului perlumbaan itu dengan jurang mata yang besar serta menampilkan prestasi konsisten musim ini, pelumba meningkat naik dari Sepanyol Marc Marques mampu merampas gelaran dunia dan dinobatkan sebagai juara baru MotoGP jika keputusan memihak kepada beliau di Sepang.

Bagi memberi penghormatan kepada mendiang Marco Simoncelli, Razlan berkata SIC akan bekerjasama dengan Dorna - pemegang hak penganjuran MotoGP di seluruh dunia dan pasukan Carlo Gresini Racing - menganjurkan satu penghormatan khas kepada pelumba legenda itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment