My Add

Sunday 9 September 2012

MPM cadang pusat pemulihan sivik untuk kumpulan biadab

KUALA LUMPUR, AHAD, 09 September, 2012: Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini mencadangkan supaya Jabatan Perpaduan Negara menubuhkan sebuah Pusat Pemulihan Sivik bagi menempatkan kumpulan yang berkelakuan biadab dan tidak menghormati undang-undang negara.

Setiausaha Agungnya, Hasan Mad, berkata pusat itu dipercayai dapat memberi pengajaran dan penjelasan kepada kumpulan berkenaan akan akibat perlakuan mereka kepada negara.

"Jabatan Perpaduan Negara jangan lagi berdiam diri. Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan kepada rakyat kerana kepentingan politik," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai insiden memijak gambar pemimpin negara dan meminta Jalur Gemilang diturunkan serta digantikan dengan bendera lain pada malam sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Hasan berkata sekiranya perkara ini tidak diatasi, dikhuatiri masyarakat bakal berhadapan dengan masalah jatidiri serius, lemah kesedaran sivik dan terpesong jauh dari nilai budaya dan agama.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, sehingga kini belum ada satu pun tindakan tegas diambil Jabatan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri itu sama ada 'merawat' atau mencegah budaya biadab kumpulan pelampau itu.

"Sebelum ini beberapa golongan pelampau pernah mencabar keharmonian negara ini dengan memperlekeh lagu Negaraku.

"Apabila tiada tindakan setimpal diambil atas apa yang mereka lakukan, maka ia mencetuskan keberanian lain-lain kumpulan pelampau untuk melakukan sesuatu yang lebih berani daripada itu," katanya.

MPM dianggotai lebih 220 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Islam dan Bumiputera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment