My Add

Sunday 9 September 2012

Malaysia, AS harap rundingan TPP dimuktamad akhir 2013

VLADIVOSTOK (Russia), AHAD, 09  September, 2012: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berharap rundingan perdagangan pelbagai hala Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dapat dimuktamadkan pada akhir 2013, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, hari ini.

Najib, yang mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, berkata terdapat beberapa isu yang masih belum mencapai sebarang penyelesaian dan kedua-dua kerajaan berharap resolusi akan dicapai bagi isu tertunggak pada masa itu kelak.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu juga maklum tentang kemajuan yang dicapai oleh AS dan Malaysia dalam hubungan perdagangan dan dua hala mereka.

"Clinton juga melahirkan minatnya terhadap Pergerakan Moderat Sedunia Malaysia dan mahu bekerjasama dengan Malaysia bagi konsep itu," katanya ketika memberi taklimat kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-20, yang berakhir hari ini.

Ketika mesyuarat mereka pada awal hari ini, Najib dan Clinton membincangkan mengenai kemajuan Program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris Fulbright dan pelawaan AS kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Keusahawanan Global tahun depan.

Najib berkata, Malaysia menerima pelawaan itu untuk menjadi hos bagi sidang kemuncak tersebut.

Sementara itu, Minggu Pemimpin-Pemimpin APEC 2012 berakhir hari ini, dengan 21 ketua forum ekonomi serantau itu mengisytiharkan deklarasi bersama komitmen diperkukuh dan diperbaharui semula mereka bagi memacu kemajuan dan penerajuan rantau ini dalam ekonomi global.

Mereka mengusul dan bersetuju dengan pelbagai langkah konkrit dan program yang disasarkan untuk meneruskan rejim perdagangan bebas, mekanisme rantaian bekalan makanan terjamin dan penggalakan inovasi.

Tuan rumah APEC 2012, Presiden Russia, Vladimir Putin, mengadakan sidang media bersama semua pemberita yang membuat liputan sidang kemuncak tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment