My Add

Saturday 8 September 2012

Pastikan semua ahli UMNO daftar mengundi

KOTA TINGGI, JUMAAT, 07 September, 2012: Semua jentera UMNO bahagian digesa menggerakkan usaha memastikan ahli parti itu mendaftar sebagai pengundi bagi membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau difahamkan terdapat kira-kira 500,000 ahli UMNO di seluruh negara yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Ahli UMNO percaya, usaha berterusan semua jentera UMNO bahagian mampu membawa kejayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya berharap semua bahagian menggerakkan tenaga supaya ahli UMNO didaftarkan sebagai ahli secepat mungkin. Setakat ahli pada nama sahaja tetapi tidak mengundi, ia akan menjadi masalah kepada kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dan ahli UMNO Bahagian Pengerang yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, usaha tersebut termasuk proses pemutihan seperti mengemas kini ahli UMNO yang masih hidup dan layak mengundi yang hanya boleh dijalankan UMNO bahagian memandangkan mereka mempunyai maklumat terkini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shafie berharap kementeriannya mendapat peruntukan lebih besar dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini.

“Masih ada jalan-jalan terutama di kawasan kampung dan perkampungan orang asli yang perlu dinaik taraf. Jadi, jika jumlah peruntukan yang disalurkan kepada kementerian ini ditingkatkan, maka banyaklah yang boleh dibuat," ujarnya.

Mengulas mengenai kontroversi berhubung projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) yang dibangunkan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), beliau memberi keyakinan perkara tersebut akan diberi perhatian.

Menurutnya, segala permasalahan yang berbangkit berhubung projek itu terutama membabitkan masyarakat setempat akan ditangani sebaik mungkin dalam usaha memastikan mereka tidak dipinggirkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment