My Add

Saturday 8 September 2012

BN dan UMNO jadi benteng

*MUHYIDDIN Yassin berbual dengan C. Naran Dass, 87 (kiri) selepas menyampaikan Tokoh Veteran 1Malaysia 2012 pada pelancaran Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri semalam. Turut sama, seorang lagi Tokoh Veteran 1Malaysia 2012, Datuk Ooi Beng Hai, 81 (kanan). - BERNAMA

Oleh SAHBULAH DARWI
LANGKAWI, JUMAAT, 07 September, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mendapat mandat yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mempertahankan asas-asas pembentukan negara bangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia kerana asas-asas seperti institusi raja, kedudukan Islam, keluhuran perlembagaan, hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan sebagainya semakin diancam akibat keghairahan parti pembangkang mengejar kuasa.

"Bila mereka (pembangkang) menganjurkan bendera Malaysia ditukar, pijak gambar Perdana Menteri, sarankan kita supaya sokong seks bebas, LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), kalau nak senaraikan dah berpuluh-puluh atau beratus-ratus petanda yang bagi saya amat bertentangan dengan nilai-nilai Malaysia," katanya.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di dewan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Abu Bakar Taib.

Muhyiddin berkata, pengaruh seperti membawa fahaman terlalu liberal, tiada asas hormat menghormati dan suara yang ekstrem di kalangan penyokong pembangkang kini boleh dilihat setiap hari sedangkan ia tidak berlaku dalam tempoh sebelum 2008.

"Jadi, amat penting bagi BN dan UMNO menjadi benteng daripada asakan pengaruh luar yang tidak secocok dengan nilai agama dan ketimuran Malaysia," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, kemenangan BN bukan hanya untuk kuasa politik tetapi mempunyai agenda yang lebih besar untuk menentukan supaya asas-asas itu terlaksana untuk generasi akan datang berdasarkan prinsip Rukun Negara.

Katanya, parti pembangkang tidak mengambil pertimbangan itu kerana apa yang penting bagi mereka ialah mencetus kebencian, menuduh kerajaan tidak berfaedah, meruntuhkan tatasusila dan nilai murni rakyat yang dibentuk oleh kerajaan BN sejak kemerdekaan negara.

"Ketika ini sesetengah rakyat seperti terpinga-pinga, orang Melayu tidak tahu arah tujuan dan ini sengaja dibentuk oleh pembangkang secara psikologi hanya untuk kuasa politik," jelasnya.

Justeru, kata beliau, ahli-ahli UMNO dan BN perlu terus bekerja kuat untuk mendekati rakyat dan pengundi serta memperkukuhkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya yang kini semakin hampir.

Sementara itu, beliau berkata, Pelan Induk Pendidikan yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa depan turut akan memasukkan unsur-unsur kenegaraan seperti nilai-nilai dan etika sebagai perkara asas kurikulum pendidikan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment