My Add

Monday 3 September 2012

Pelaksanaan NAP secara berperingkat - Mustapa

KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 September, 2012: Pelaksanaan Dasar Automotif Negara (NAP) tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa tetapi secara berperingkat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan sudah mula melaksanakan dasar yang dikaji semula itu sejak Jun 2012, dan banyak lagi inisiatif akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Kajian semula itu termasuk insentif untuk pengeluaran kenderaan cekap tenaga, dan baru-baru ini, Honda Malaysia Sdn Bhd memperoleh manfaat daripada NAP yang dikaji semula itu.

"Kerajaan sedang berbincang dengan dua atau tiga pembuat kereta bagi menawarkan insentif yang sama, dan mempromosikan Malaysia sebagai hab serantau untuk pengeluaran kenderaan cekap tenaga," kata Mustapa kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Rumah Terbuka Hari Raya anjuran kementerian itu di sini hari ini.

Pada 20 Julai, Honda mengumumkan projek peluasan bernilai RM1 bilion yang meliputi pengeluaran kenderaan hibrid dalam negara, menjadikannya pengeluar automotif bukan nasional pertama mengeluarkan kenderaan hibrid di Malaysia.

Sebelum ini, UMW Toyota dilapor menyuarakan minat untuk memasang model hibrid di Malaysia.

Ditanya sama ada NAP akan menjadi inti pati dalam Bajet 2013, Mustapa berkata: “Saya rasa tidak. Bajet terlalu awal dan saya tidak jangkakan pengumuman akan dibuat pada masa itu." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment