My Add

Thursday 13 September 2012

Pengaruh kumpulan Anwarinas dalam Pas masih besar

KUALA LUMPUR, RABU, 12 September, 2012: Keputusan Majlis Syura Ulama Pas mengekalkan kedudukan bekas Timbalan Presiden parti, Nasharudin Mat Isa tidak membuktikan suara golongan ulama lebih berpengaruh daripada kumpulan Anwarinas dan parasit.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad berkata, Jawatankuasa Pas Pusat sebenarnya memilih jalan selamat bagi memastikan kesinambungan hidup politik parti itu terjamin menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau yang masih ahli Pas Kawasan Subang dan Cawangan Kota Damansara memberitahu, tindakan Jawatankuasa Pas Pusat menyerahkan isu Nasharudin kepada pertimbangan Majlis Syura Ulama dianggap sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan.

"Majlis Syura Ulama Pas tidak mempunyai kuasa eksekutif. Sepatutnya Jawatankuasa Pas Pusat yang membuat keputusan berhubung isu Ahli Parlimen Bachok itu, sama seperti dalam kes bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

"Saya melihat keputusan mengekalkan Nasharudin dibuat setelah Pas mengambil kira situasi politik semasa dan bukan kerana pengaruh golongan ulama mengatasi kumpulan parasit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasan Basri mengulas kedudukan Nasharudin dalam parti itu kekal seperti yang diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 9 September lalu.

Tambah beliau, keputusan itu jelas berbeza dengan pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi sebelum mesyuarat berkenaan diadakan.

"Nik Abdul Aziz menegaskan mana-mana pemimpin yang tidak mengikut peraturan boleh meninggalkan Pas manakala Abdul Hadi menganggap Nasharudin tidak lagi relevan kepada parti," ujarnya.

Jelasnya, kumpulan Anwarinas serta parasit pasti tidak berpuas hati dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu dan akan mencari jalan lain untuk menyingkirkan Nasharudin dari parti.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azli Musaberkata, semua pihak di dalam parti perlu menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas sebagai badan yang menduduki hierarki tertinggi dalam parti.

"Sepatutnya tidak timbul suara-suara sumbang yang mempertikaikan keputusan badan tersebut mengekalkan kedudukan Nasharudin dalam Pas," katanya.

Menurut beliau, kewibawaan Majlis Syura Ulama Pas yang berperanan menentukan dasar parti tidak sewajarnya diragui dan pihaknya akur dengan setiap keputusan yang dibuat badan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment