My Add

Thursday 13 September 2012

Tindakan Mustafa pantas lindungi puak Anwar dipersoal

KUALA LUMPUR, RABU, 12 September, 2012: Tindakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang dilihat begitu pantas melindungi kumpulan Anwarinas berhubung kemelut yang melanda bekas Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa menimbulkan pelbagai persoalan.

Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Abd. Aziz Abidi Ariffin berkata, beliau hairan dengan perubahan sikap Mustafa yang begitu agresif membela kelompok Anwarinas sedangkan sebelum ini Setiausaha Agung Pas itu tidak pernah mengambil pendirian sebegitu.

"Kami hairan mengapa Mustafa cuba melindungi puak Anwarinas dengan menyatakan kumpulan tersebut tidak terlibat dalam usaha memecat Nasharudin sehingga beliau muncul orang pertama dalam Pas yang menafikan penglibatan Anwarinas.

"Sedangkan percaturan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Anwarinas dalam menentukan hala tuju perjalanan politik Pas bukan lagi rahsia, lihat sahaja apa yang berlaku kepada Datuk Dr. Hasan Ali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nasharudin yang mendesak Pas mengkaji semula hubungan di dalam pakatan pembangkang ekoran kebiadaban Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud ditekan kelompok Anwarinas yang mahu beliau dipecat kerana dikatakan tidak selari dengan dasar pembangkang.

Bagaimanapun beliau yang mendapat sokongan penuh golongan ulama terselamat daripada dipecat dan Mustafa kemudian menafikan kemelut dalaman Pas itu mempunyai kaitan dengan percaturan politik kumpulan Anwarinas.

Dalam perkembangan sama, Abd. Aziz mempersoalkan adakah Mustafa dipaksa pihak tertentu melindungi kumpulan Anwarinas dan punca sebenar sehingga beliau yang begitu berpengalaman dalam politik dilihat tunduk kepada golongan itu.

"Masyarakat umum perlu tahu apakah wujud rahsia peribadi Mustafa yang disimpan puak Anwarinas sehingga sanggup tunduk sedemikian rupa dan jika tiada, kita minta Mustafa jangan membiarkan diri beliau diperalat kumpulan berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment