My Add

Monday 10 September 2012

Pengawal peribadi kerabat diraja didenda peras ugut

JOHOR BAHRU, ISNIN, 10 September, 2012: Seorang pengawal peribadi kerabat diraja didenda RM10,000 dan diarah membayar wang pampasan RM40,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas didapati bersalah memeras ugut seorang kontraktor, dua tahun lepas.

Majistret Noor Aisyah Ahmad membuat keputusan berkenaan terhadap Ahmad Asri Mohd Redzuan, 35, atau dikenali sebagai Milo, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah, di akhir kes pendakwaan.

Noor Aisyah mengarahkan tertuduh dikenakan penjara 36 bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu dan penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar wang pampasan kepada mangsa, hari ini.

Beliau mengguna pakai Seksyen 426 Kanun Acara Jenayah untuk mengarahkan Ahmad Asri membayar wang pampasan terbabit.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Asri yang masih bujang itu didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Zainal Awang, 53, dengan meminta menyerahkan dua keping cek berjumlah RM40,000 bagi mengelakkan hubungan sulit Zainal dengan seorang wanita didedahkan kepada keluarga.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di tempat letak kereta Perling Mall, di sini, antara 3 dan 4 petang 21 September 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Roy Angau Anak Gingkoi dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman dan menangguhkan pelaksanaan hukuman, bagaimanapun ia ditolak Noor Aisyah.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ashraf Mohd Diah pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan membenarkan Zainal untuk memperjelaskan kesan peras ugut itu menerusi kenyataan impak kesalahan ke atas mangsa (VIS).

Zainal dalam kenyataannya pada prosiding itu memohon mahkamah mengambil kira kesengsaraan yang dialaminya dan keluarga akibat ketakutan yang dihadapi.

"Tertuduh mempunyai hubungan baik dengan pihak istana yang membuatkan saya berada dalam ketakutan dan pergerakan saya juga terbatas. Saya harap hukuman berat akan menjadi pengajaran kepada tertuduh agar tidak menyalah guna pengaruh untuk melakukan perkara sama terhadap orang lain," kata Zainal.

Tertuduh membayar denda dan wang pampasan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment