My Add

Wednesday 5 September 2012

Pengeluar sarung tangan guna sistem automasi

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 September, 2012: Pengeluar sarung tangan getah Malaysia dijangka melabur antara RM300 juta dan RM500 juta dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang bagi melaksanakan automasi.

Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Lim Kwee Shyan berkata, pelaksanaan automasi itu sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing di samping meningkatkan pengeluaran produk itu.

"Melalui pelaksanaan automasi, pekerja mungkin boleh dikurangkan sehingga 50 peratus dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

"Bagaimanapun kita akan membuat pelaburan dalam meningkatkan kemahiran pekerja mahir seperti bahagian kejuruteraan dan teknikal kerana industri ini sudah semakin berkembang dan langkah inovasi perlu diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) 2012 keenam di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada persidangan kali ini sebanyak 71 syarikat pengeluar sarung tangan getah tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian merangkumi 130 gerai pameran menyaksikan pertambahan sebanyak 42 gerai berbanding tahun 2010.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian sebelum itu, Kwee Shyan berkata, Malaysia terus menjadi pengeluar utama pelbagai jenis sarung tangan getah apabila membekalkan 60 peratus daripada jumlah permintaan dunia.

Ketika ini pengeluaran produk itu berjumlah 150 bilion helai setahun dan dijangka meningkat sehingga 300 bilion, katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment