My Add

Wednesday 5 September 2012

Industri getah jana RM52.9b

Oleh HUSSAINI AMRAN dan SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
KUALA LUMPUR, SELASA, 04 September, 2012: Industri getah disasarkan menyumbang kira-kira RM52.9 bilion kepada pendapatan kasar negara (GNI) pada 2020 dengan kira-kira RM30 bilion atau 56.7 peratus daripada jumlah itu disumbangkan oleh industri pembuatan sarung tangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menyedari potensi industri getah, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan akan terus mempromosikan industri tersebut sebagai salah satu sektor penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

"Langkah-langkah yang diambil termasuk menjalin kerjasama erat antara sektor awam dan swasta bagi mewujudkan inisiatif yang berupaya meningkatkan hasil ladang-ladang getah, pelaburan semula dalam infrastruktur dan meneroka pasaran serta peluang-peluang baru.

"Selain itu, usaha bersepadu untuk merancakkan promosi produk-produk getah terutama sarung tangan di pasaran akan dilaksanakan," katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Pengerusi Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), Datuk Billy Abit Joo dan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Lim Kwee Shyan.

Tambah Muhyiddin, kerajaan menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) merancang membina lima fasiliti bagi menggalakkan pertumbuhan pesat sektor penghasilan getah.

Jelas beliau, salah satu daripada fasiliti terbabit akan berfungsi sebagai pusat ujian bagi memastikan penghasilan susu getah dengan gred dan kualiti tertinggi mencukupi untuk menampung keperluan pengeluar sarung tangan getah di negara ini.

"Fasiliti-fasiliti yang disediakan kerajaan ini akan mewujudkan persekitaran dan peluang yang lebih kondusif kepada komuniti perniagaan di dalam industri getah untuk menjana pelaburan dan pelaburan semula," ujarnya.

Sementara itu, kata Muhyiddin, nilai eksport sarung tangan getah sepanjang Januari hingga Mei tahun ini adalah sebanyak RM4.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Hasil eksport sarung tangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu mencatatkan nilai RM9.89 bilion dengan peningkatan sebanyak 10.9 peratus berbanding RM8.92 bilion pada 2010," jelasnya.

Menurut beliau, Malaysia merupakan pengeluar terbesar sarung tangan getah di dunia dan Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara Kesatuan Eropah (EU) merupakan destinasi import utama diikuti oleh Jepun, Brazil dan Turki. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment