My Add

Thursday 13 September 2012

Perdasma harap kepentingan peniaga Melayu tak dipinggir

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 September, 2012:: Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) berharap supaya Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini tidak meminggirkan kepentingan peniaga Melayu dan agenda Bumiputera.

Timbalan Presiden PERDASAMA, Datuk Seri Matshah Safuan berkata, pembahagian pembangunan ekonomi perlu dikongsi bersama, tidak kira bangsa dan agama.

"Kita tidak perlu memanggil kontraktor dari luar untuk melaksanakan projek pembangunan di negara ini memandangkan ramai kontraktor Bumiputera yang berkemahiran dalam bidang ini.

"Kita lihat ada projek yang diluluskan kerajaan tetapi belum disempurnakan, jadi kita fikir kalau projek ini dapat dikumpulkan dalam satu kumpulan projek yang sama, dapatlah kita salurkan kepada ahli kita dan dalam masa yang sama membantu kerajaan menyempurnakan projek tersebut," katanya selepas mesyuarat agung Perdasama ke-14 di sini, hari ini.

Mesyuarat agung PERDASAMA itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Matshah juga berharap, kerajaan dapat membantu peniaga Melayu untuk mendapatkan pinjaman perniagaan dari bank komersial.

"Saya berharap supaya pihak kerajaan dapat membantu kami mengatasi kekangan yang dihadapi dalam usaha kami untuk membuat pinjaman. Ini adalah masalah yang sentiasa dihadapi oleh peniaga Bumiputera, tidak kira sama ada perniagaan itu besar atau kecil," katanya.

Sementara itu, Matshah berkata, dalam usaha memantapkan ahli-ahlinya, Perdasama kini sedang menggiatkan usaha membangunkan sebuah pangkalan data usahawan Melayu yang menyeluruh melalui program "Pusat Pintar Ekonomi."

Menerusi inisiatif ini, PERDASAMA berhasrat untuk mengumpulkan maklumat terperinci meliputi bidang-bidang keusahawanan yang boleh diceburi, tahap survival dan kelestarian perniagaan Melayu, bentuk sokongan dan bantuan yang diperlukan serta mengenal pasti kekangan yang dihadapi peniaga Melayu.

"Maklumat yang diperoleh menerusi pangkalan data ini akan menjadi pemangkin kepada Perdasama dalam merangka strategi pembangunan usahawan dan melobi kerajaan ke arah pelaksanaan dasar yang dapat membantu pembangunan usahawan Melayu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment